Thursday, 13 December 2012

TUJUH ANGGOTA SUJUD

     Sujud dari segi syarak ialah sentuhan dahi seseorang ketika bersolat di tempat sujud.  Terdapat tujuh anggota sujud iaitu dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua perut jari kaki.

Syarat-syarat sujud
  • Dahi tidak berlapik dengan sesuatu benda.Sekurang-kurangnya sujud meletakkan dahi di atas tempat sujud dan dahi mestilah tidak berlapik dengan sesuatu. Tetapi sekiranya dahi itu terpaksa dibalut kerana luka dan sebagainya maka tidaklah diwajibkan membukanya. Begitu juga umpamanya dahi berlapikkan songkok dengan sengaja tapa sebab, maka solat itu dikira tidak sah. Jika seseorang sujud di atas tanah atau kertas dan yang seumpamanya lalu melekat tanah atau kertas tersebut di dahinya sehingga menjadikan dahinya berlapik maka tidak sah sujudnya kedua kecuali setelah dia menghilangkan tanah atau kertas tersebut dari dahinya. Sujud yang pertama dikira sah.
  •  Sujud hendaklah melibatkan tujuh anggota yang telah dinyatakan tadi.
  • Bahagian paling bawah (punggung) hendaklah terangkat sedikit lebih daripada kepala sekadar termampu.
  • Tidak mempunyai niat yang lain selain daripada sujud.
  • Berada dalam keadaan tenang ketika sujud serta mampu untuk membaca tasbih sujud.
  • Dahi terletak tetap di tempat sujud.
  • Tidak sujud di atas permukaan yang ditanggung atau badan yang bersambung dengan badan iaitu yang mana ia bergerak dengan pergerakannya seperti berdiri atau duduk sekalipun ia hanya akan bergerak dengan pergerakan yang kuat seperti pakaian yang dipakainya. Oleh itu sah sujud di atas katil sekalipun katil itu bergerak dengan pergerakannya kerana katil itu tidak ditanggungnya.. Begitu juga sah sujud di hujung kainnya yang panjang yang tidak bergerak dengan pergerakannya untuk berdiri dan duduk kerana ia dihukumkan benda yang tidak bersambung dengannya.
  • Bertumpu dengan dahi iaitu meletakkan imbangan berat kepalanya di tempat sujud. Ukurannya ialah jika seseorang itu sujud di atas kapas, maka akan pipihlah kapas tersebut disebabkan keberatan dahi dan jika dimasukkan tangan di celah kapas tersebut tangan boleh merasakan keberatan dahi. Maka sujud tidak hanya memadai dengan semata-mata dahi menyentuh tempat sujud.
  • Niat untuk sujud iaitu perbuatan tersebut hendak melakukan sujud dan bukan kerana tujuan lain selain sujud.


Monday, 3 December 2012

TAKBIRATUL IHRAM

     Takbiratul ihram adalah lafaz yang merupakan salah satu daripada rukun sembahyang berdasrkan hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib karamallahu wajhah daripada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Kunci sembahyang itu ialah suci daripada hadas kecil dan besar, pengharamannya (daripada perkara-perkara yang harus seperti makan dan minum) ialah ucapan lafaz 'Allahu Akbar' dan penghalalannya (melakukan perkara-perkara yang harus seperti makan dan minum) ialah ucapan lafaz 'Assalamualaikum' "
Hadis riwayat al-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan al-Darimi 

     Was-was dalam Takbiratul Ihram merupakan permainan syaitan. Orang yang terkena penyakit was-was disunatkan membaca (La ilaha illallah) sebelum melakukan takbiratul ihram, kerana syaitan akan menjauhkan diri apabila mendengarnya. Selain itu, menurut ulama boleh juga dibaca ta'awuz (a'udzubillahi minasy syaitanir rajim) sebelum melakukan takbiratul ihram dan membaca doa ini sebanyak tiga kali yang bermaksud, "Ya Allah! Aku berlindung kepadamu  daripada syaitan was was yang bernama khanzab".

NIAT SOLAT

Pengertian
Dari segi bahasa : An-Niyyah dari segi bahasa bermaksud kehendak
Dari segi syarak : bermaksud kehendakh untuk melakukan sesuatu yang disertai dengan perbuatan.

Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah al-Baiyyinah yang bermaksud "Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan demikian itulah agama yang benar."

Niat berlaku semasa seseorang mengangkat takbiratul ihram iaitu tatkala ia mengatakan "Allahu Akbar" maka hatinya berkata sebagai berikut:

1. Niat solat subuh
أُصَلِّى فَرْضَ الْصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً  ِللهِ تَعَالىَ
Sahaja aku solat fardhu subuh dua rakaat tunai kerana Allah Taala

2. Niat solat zohor
أُصَلِّى فَرْضَ الْظُهْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً ِللهِ تَعَالىَ
Sahaja aku solat fardhu zohor empat rakaat tunai kerana Allah Taala

3. Niat solat asar
 أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً ِللهِ تَعَالىَ
Sahaja aku solat fardhu asar empat rakaat tunai kerana Allah Taala.

4. Niat solat maghrib
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلاَثَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً ِللهِ تَعَالىَ
Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat tunai kerana Allah Taala

5. Niat solat isyak
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكْعَاتٍ أَدَاءً ِللهِ تَعَالىَ
Sahaja aku solat fardhu isyak empat rakaat tunai kerana Allah Taala

*Jika ingin solat berjemaah bolehlah ditambah 'imaman' (imam) ataupun 'makmuman' (makmum) selepas menyebut rakaat solat.

RUKUN SOLAT