Thursday 13 December 2012

Mencontohi Solat Rasulullah Sujud

PERBEZAAN SOLAT LELAKI DAN PEREMPUAN



BIL
LELAKI
PEREMPUAN
1.
Merenggangkan kedua-dua tangannya dari lambung ketiaknya ketika mengangkat takbir.
Merapatkan kedua-dua tangannya ke ketiak ketika mengangkat takbir.
2.
Ketika sujud paha kaum lelaki boleh direnggangkan.
Ketika sujud paha perempuan hendaklah dirapatkan ke perut.
3.
Orang lelaki boleh menyaringkan bacaannya pada solat maghrib, isyak dn subuh.
Tidak boleh menyaringkan bacaan.
4.
Boleh menegur atau memberi ingatan imam yang terlupa dengan mengatakan ‘Subhanallah’.
Hanya dibenarkan menepuk tangan kiri sahaja tidak boleh lebih daripada tiga pergerakan berturut-turut.
5.
Aurat lelaki di antara pusat dan lutut.
Aurat perempuan adalah keseluruhan badan kecuali muka dan dua pergelangan tangan.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

    Terdapat sebelas perkara yang membatalkan solat. Perkara-perkara yang tidak termasuk dalam sebelas perkara ini tidak dikira membatalkan solat. Sekiranya solat itu batal maka wajib ia mengulangi semula solat tersebut. Perkara-perkara membatalkan solat adalah seperti berikut:
  1. Berkata-berkata dengan sengaja selain daripada al-Quran, zikir atau doa walau satu huruf pun.
  2. Menambah atau mengurangkan perbuatan rukun solat iaitu membuat beberapa perbuatan yang pada adatnya tidak dusuruh melakukannya dalam solat.
  3. Kedatangan hadas sama ada hadas kecil atau pun hadas besar.
  4. Najis yang tidak dapat dimaafkan sama ada pada badan atau pakaian. Sekiranya jatuh najis yang kering pada pakaian dan boleh dibuang pada masa itu juga maka tidaklah batal solat tetapi najis itu tidak boleh disentuh dengan tangan.
  5. Terbuka aurat walaupun tidak sengaja seperti ditiup angin tetapi sekiranya boleh ditutup sekejap itu juga maka tidaklah batal.
  6. Membelakangkan kiblat dengan dadanya.
  7. Mengubah niat iaitu contohnya menunaikan solat zohor kemudian ditukar niatnya dengan solat sunat zohor maka batallah solati itu tetapi kalau berniat sunat mutlak tidaklah batal.
  8. Makan walaupun sedikit seperti menelan sebiji nasi di dalam mulutnya kecuali ia terlupa.
  9. Minum seperti menelan air liur yang masih lagi terasa manisnya.
  10. Mengeluarkan suara selain bacaan dalam solat seperti ketawa sehingga terkeluar suara yang mengandungi dua huruf begitu juga menangis.
  11. Murtad iaitu keluar daripada agama Islam.

PERINGATAN

  1. Melangkah dua langkah berturut-turut dalam solat, tidak batal solat itu, tetapi sekiranya melangkah tiga langkah berturut-turut maka solat itu batal.
  2. Menambah rukun fe'li seperti sujud atau rukuk berlebihan maka solat itu batal.
  3. Sesiapa yang solat menghala ke arah dinding, tiang atau apa sahaja yang dibuat sebagai sekatan maka disunatkan menolak orang yang melintas di hadapannya jika jarak di antaranya dengan sekatan tersebut tidak lebih daripada tiga hasta yang sederhana.
  4. Melintas di hadapan orang yang sedang solat hukumnya haram.
  5. Mengangkat muka ke langit hukumnya makruh.
  6. Makruh menahan buang air kecil/ besar / angin (kentut).
  7. Makruh solat sekiranya makanan sudah dihidang.

ANTARA KEUZURAN YANG MEMBOLEHKAN SESEORANG ITU SOLAT TANPA BERDIRI

  1. Seseorang yang takut akan pening kepalanya yang boleh mengganggu kekhusyukan solat.
  2. Seseorang yang takut sampannya akan tenggelam jika dia bersolat berdiri di atas sampan.
  3. seseorang yang menghidap penyakit kencing tidak lawas di mana jika bersembahyang berdiri air kencingnya akan mengalir.
  4. Seseorang yang diberitahu oleh doktor  yang boleh dipercayai bahawa tanpa solat berdiri penyakitnya akan cepat sembuh.
  5. Seseorang yang jika dia bersembahyang berdiri akan diketahui kedudukannya oleh musuh dalam peperangan.
Maka orang yang tersebut di atas dharuskan meninggalkan perbuatan berdiri dalam sembahyang disebabkan keuzuran-keuzuran tersebut dan tidak perlu mereka mengulangi sembahyang apabila keuzuran mereka sudah hilang kecuali bagi orang yang dalamm peperangan kerana perkara sedemikian jarang berlaku. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Bersolatlah berdiri, jika engkau tidak mampu  maka bersolatlah duduk, jika engkau tidak mampu maka bersolatlah di atas lambungmu (mengiring)".

Orang yang mampu untuk berdiri tetapi dia tidak mampu untuk melakukan rukuk dan sujud maka hendaklah dia membongkokkan badan sekadar yang dia mampu. Jika dia tidak mampu untuk membongkokkan badannya maka hendaklah dia mengisyaratkannya dengan menggunakan leher dan kepala. Jika tidak mampu juga hendaklah dia mengisyaratkannya dengan menggunakan kelopak mata.

TUJUH ANGGOTA SUJUD

     Sujud dari segi syarak ialah sentuhan dahi seseorang ketika bersolat di tempat sujud.  Terdapat tujuh anggota sujud iaitu dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua perut jari kaki.

Syarat-syarat sujud
  • Dahi tidak berlapik dengan sesuatu benda.Sekurang-kurangnya sujud meletakkan dahi di atas tempat sujud dan dahi mestilah tidak berlapik dengan sesuatu. Tetapi sekiranya dahi itu terpaksa dibalut kerana luka dan sebagainya maka tidaklah diwajibkan membukanya. Begitu juga umpamanya dahi berlapikkan songkok dengan sengaja tapa sebab, maka solat itu dikira tidak sah. Jika seseorang sujud di atas tanah atau kertas dan yang seumpamanya lalu melekat tanah atau kertas tersebut di dahinya sehingga menjadikan dahinya berlapik maka tidak sah sujudnya kedua kecuali setelah dia menghilangkan tanah atau kertas tersebut dari dahinya. Sujud yang pertama dikira sah.
  •  Sujud hendaklah melibatkan tujuh anggota yang telah dinyatakan tadi.
  • Bahagian paling bawah (punggung) hendaklah terangkat sedikit lebih daripada kepala sekadar termampu.
  • Tidak mempunyai niat yang lain selain daripada sujud.
  • Berada dalam keadaan tenang ketika sujud serta mampu untuk membaca tasbih sujud.
  • Dahi terletak tetap di tempat sujud.
  • Tidak sujud di atas permukaan yang ditanggung atau badan yang bersambung dengan badan iaitu yang mana ia bergerak dengan pergerakannya seperti berdiri atau duduk sekalipun ia hanya akan bergerak dengan pergerakan yang kuat seperti pakaian yang dipakainya. Oleh itu sah sujud di atas katil sekalipun katil itu bergerak dengan pergerakannya kerana katil itu tidak ditanggungnya.. Begitu juga sah sujud di hujung kainnya yang panjang yang tidak bergerak dengan pergerakannya untuk berdiri dan duduk kerana ia dihukumkan benda yang tidak bersambung dengannya.
  • Bertumpu dengan dahi iaitu meletakkan imbangan berat kepalanya di tempat sujud. Ukurannya ialah jika seseorang itu sujud di atas kapas, maka akan pipihlah kapas tersebut disebabkan keberatan dahi dan jika dimasukkan tangan di celah kapas tersebut tangan boleh merasakan keberatan dahi. Maka sujud tidak hanya memadai dengan semata-mata dahi menyentuh tempat sujud.
  • Niat untuk sujud iaitu perbuatan tersebut hendak melakukan sujud dan bukan kerana tujuan lain selain sujud.