Silap Baca Quran Batalkah Solat
Saya ingin bertanya akan hukum seorang imam yang membaca ayat-ayat quran ketika solat dengan salah sebutan, tajwid dan makhrajnya. Adakah ia membatalkan solat. ?- Dr Iman, Shah Alam-
**********************
Jawapan
Mazhab Hanafi dan kebanyakan ulama Syafie berpandangan dengan pandangan
yang agak keras apabila mereka berijtihad bahawa solat si imam adalah
batal, terutamanya apabila makna ayat itu berubah atau tiada makna.
Malah sekiranya si imam itu beri'tiqad dengan bacaan salah itu, maka ia
boleh menjadi kufur. Tetapi jika tersilap dan diulangi maka solat adalah
sah.( Ad-Durrul Mukhtar, 1/589; Rawdah at-Tolibin, hlm 109, cet Dar Ibn
Hazm)
Manakala kebanyakan ulama mutaakhir menyebut kesilapan dalam tajwid dan
makhraj serta tatabahasa di dalam bacaan ayat quran, tidak membatalkan
solat. Bagaimanapun sekiranya bertukar huruf yang mudah disebut kepada
huruf yang lain seperti "solehat" kepada "tolehat", maka solat adalah
batal secara sepakat ulama. Adapun, jika huruf yang sememangnya agak
sukar di lafazkan seperti ‘sin' dengan ‘shim' atau bertukar ‘shod'
kepada ‘sin' dalam bacaan fatihah. Ia tidak membatalakn solat kerana
umum al-balwa (perkara silap yang sukar dielakkan).
Tidak membaca "tasydid" pada bacaan al-fatihah seperti (iyyaka na'budu)
dibaca (iyaka na'budu) atau (rabbil ‘alamin) dibaca ( rabil ‘alamin)
akan merosakkan solat.
Manakala Mazhab Hanbali berijtihad bahawa sebarang kesilapan di dalam
bacaan imam yang menukar erti ayat selain pada bacaan al-Fatihah tidak
membatalkan solat. Silap dalam fatihah pasti membatalkan solat. (
Al-Mughni, 2/198)
Bagi mengelakkan masalah ini berbangkit, setelah melihat yang paling
mengetahui ilmu tentang hukum solat, Nabi SAW amat menggalakkan individu
yang layak menjadi imam adalah paling baik bacaannya di samping
syarat-syarat yang lain. Berdasarkan hadith : ertinya " "menjadi imam
bagi sesuatu kaum adalah yang paling baik bacaan al-Qurannya, sekiranya
bacaannya sama, maka yang lebih mengathui perihal sunnah" ( Riwayat
al-Jamaah kecuali al-Bukhari, Nasb ar-Rayah, 2/24)
Sekian
Ust Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment